Menterinya, Teresa Kok berkata, menerusi Belanjawan 2019, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk pelaksanaan IPG bagi membantu pekebun kecil dan penoreh getah namun masalah yang dihadapi ketika ini adalah berhubung penetapan paras harga sewajarnya untuk IPG tersebut.

“Saya rasa masalah sekarang ialah tentang paras harga RM2.20 itu, kementerian akan jalankan kajian tentang sama ada IPG terus ditetapkan pada harga RM2.20 atau akan ditambah lagi.

“Masalahnya kita kena buat kiraan berapa penoreh getah yang layak terima insentif seperti itu, semua kita kena buat kiraan dan itu memerlukan sedikit masa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Merasmikan Seminar Pelan Biosekuriti Bagi Industri Kelapa Sawit Malaysia di ibu pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din dan Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Kemajuan Industri Sawit dan Sago, Kementerian Industri Utama, Dr. S. Sugumari.

Sementara itu, Teresa berkata, Pelan Biosekuriti Bagi Industri Kelapa Sawit Malaysia yang dilancarkan pada hari ini mengandungi siri prosedur operasi untuk melindungi industri kelapa sawit negara terhadap kemasukan perosak dan penyakit eksotik.

Ini termasuklah perlindungan tegas di pelabuhan dan lapangan terbang, dan amalan pengurusan di ladang untuk terus mengurangkan risiko serangan terhadap kelapa sawit. - UTUSAN ONLINE