Laman sesawang Infobanjir.water.gov.my setakat pukul 5 petang ini menunjukkan paras air Sungai Golok sudah mencecah 7.67 meter iaitu berada pada tahap berjaga-jaga.

Malah, beberapa kawasan rendah seperti Kampung Lachang dilaporkan sudah mula dilimpahi air dari Sungai Golok.

Bagaimanapun, urusan penduduk kampung berkenaan masih berjalan seperti biasa dan tiada pemindahan berlaku setakat ini.

Sekiranya hujan masih lagi turun dan paras air Sungai Jenob di Jeli meningkat, berkemungkinan besar kawasan ini akan ditenggelami banjir dan penduduk perlu dipindahkan.

Hal ini kerana Sungai Golok dan Sugai Jenob mempunyai arah aliran yang sama.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd. Adni Ibrahim berkata, penduduk dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan sekeliling termasuk memantau paras air Sungai Golok.

Katanya, sekiranya air terus menunjukkan trend peningkatan, mereka disaran supaya segera membuat persiapan dan berpindah lebih awal. - UTUSAN ONLINE