maparkan operasi yang dilaksanakan oleh anggota Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Gubir, Kedah pada 15 Julai 1976 sehingga meragut nyawa ketua platun, Mejar Zainal Abdul Rashid.

Dalam insiden itu, Allahyarham Zainal dengan penuh keberanian dan semangat ke­perwiraan telah memimpin platunnya bertempur dengan 12 orang pengganas komunis.

Beliau berjaya membunuh tiga daripada enam pengganas komunis yang maut dalam pertempuran itu, namun terkena tembakan oleh seorang pengganas komunis di bahu kirinya.

Semasa terduduk menahan kesakitan di sebalik sebatang tunggul kayu, pengganas komunis wanita yang cedera ditembaknya sempat melemparkan sebutir bom tangan yang akhirnya mengorbankan Mejar Zainal.

Jenazah beliau kemudiannya telah disemadikan di kampung kelahirannya di Matang Kerian, Mukim Pangkalan Baru, Pantai Remis, Perak.

Pantomin itu melibatkan empat pegawai dan 84 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari pasukan 17 RAMD Para.

Orang ramai kemudiannya dilihat terharu dan memberi tepukan gemuruh apabila diumumkan watak Allahyarham Zainal telah dilakonkan sendiri oleh anaknya, Mohd. Hazem Shah, 44.

Atas keberanian luar biasa yang ditunjukkan, Allahyarham Zainal telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Dipertuan Agong pada 11 Ogos 1977; Pingat Keberanian Handalan (PKH) oleh Sultan Perak pada 11 Ogos 1977; Bintang Perkasa Negeri Kedah (BPK) pada 8 Jun 1977 dan Bintang Keberanian Negeri Kedah (BKK) pada 15 Julai 1983 oleh Sultan Kedah.

Allahyarham Zainal turut dinaikkan pangkat daripada Kapten kepada Mejar secara posthumous di atas jasa dan pengorbanan beliau kepada negara.

Sementara itu, Mohd. Hazem menyifatkan watak yang dibawanya hari ini amat berat dan sangat menyentuh perasaan walaupun beberapa siri latihan telah dijalankan sejak tiga minggu lalu di sini dan Melaka.

Beliau yang kini bertugas sebagai Pengurus Pengurusan Pelanggan di sebuah syarikat IT memberitahu, beliau berusia tiga tahun semasa kejadian yang menimpa bapanya itu berlaku.

“Menurut arwah datuk, bapa saya mempunyai personaliti yang tegas, sentiasa serius, tidak boleh menunjukkan sifat lembut tetapi mampu berpegang teguh kepada tanggungjawab yang diberikan,” ujarnya yang pernah mendapat pendidikan di Maktab Tentera Diraja.

Beliau berharap persembahan pentomin itu mampu mencetuskan inspirasi dalam kalangan anggota tentera ter­utamanya perajurit muda untuk berani dan cekal mempertahankan negara daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat keamanan dan kedaulatan ibu pertiwi.