Menurut Perdana Menteri, generasi muda dan rakyat Malaysia keseluruhannya juga mesti memiliki semangat tidak menye­rah kalah sehingga sasaran yang ditetapkan berjaya dicapai.

“Seperti mana saya katakan no retreat, no surrender (pantang berundur, pantang menyerah). Kalau kita meletakkan sesuatu tugas yang kita perlu lakukan, amanah yang perlu kita galas, apatah lagi untuk negara, kita mesti berjuang habis-habisan,” katanya ketika berucap melancarkan Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) Kutub Utara 2017 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri menitipkan kata-kata semangat kepada tiga ahli ekspedisi berkenaan iaitu Presiden KE7B, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin serta dua ikon sukan lasak negara, Mohd. Irwan Yusoff Abdullah dan Shahrom Abdullah.

Yang hadir sama, Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mohd. Yusuf.

Ekspedisi KE7B Kutub Utara 2017 yang akan bermula pada 13 April ini merupakan jelajah perjalanan berski sejauh 111 kilometer dengan tempoh jangkaan selama 11 hari bermula dari Stesen Barneo ke Titik Kosong Darjah Kutub Utara.

Jelas Najib, beliau kagum dengan semangat juang peserta-­peserta ekspedisi berkenaan yang semestinya dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencapai kejayaan dalam hidup.

“Dalam saat-saat (peserta KE7B) rasa terlalu sejuk yang suhunya sehingga negatif 50 darjah celsius, ingatlah yang seluruh rakyat Malaysia ada bersama anda dengan iringan doa restu dan sokongan moral, semoga ekspedisi ini berjaya sepenuhnya,” kata beliau.

Menurut Najib lagi, beliau juga merakamkan penghargaan kepada KE7B sepanjang 10 tahun penubuhannya yang telah mencatatkan pelbagai kejayaan termasuk menawan puncak Gunung Everest pada tahun 2013, merentasi Kutub Selatan pada 2015 dan menawan tujuh puncak tertinggi di tujuh benua.

Dalam pada itu, menurut Muhamad Muqharabbin, beliau serta anggota-anggota ekspedisi tersebut telah menjalani latihan intensif menarik tayar sejauh lima hingga 10 kilometer setiap hari selain berski di Jepun sebagai persiapan untuk ke Kutub Utara.

“Kami akan menggunakan semua pengalaman yang kami ada untuk ekspedisi ini yang sememangnya amat mencabar, doakan kejayaan dan keselamatan kami,” katanya yang pernah menawan tujuh puncak tertinggi di tujuh benua berbeza termasuk puncak Gunung Everest.

Sementara itu, ujar Shahrom, beliau cukup bersemangat untuk menjelajah ke Titik Kosong Darjah Kutub Utara memandangkan beliau telah melengkapkan ekspedisi berjalan dan berski ke Titik Kosong Darjah Kutub Selatan sebelum ini.

“Kita sudah pun melakukan latihan di peringkat yang tertinggi dari segi mental dan fizikal ke­rana bukan mudah ekspedisi menawan Kutub Utara ini,” katanya yang memberitahu pasukannya akan bertolak ke Oslo, Norway pada 4 April ini sebelum bergerak ke Kutub Utara.

Bagi Mohd. Irwan Yusoff, beliau akan memanfaatkan sepenuhnya pengalaman Ekspedisi KE7B di Greenland pada tahun 2014 yang merupakan perjalanan merentasi permukaan meliputi ais dengan berjalan kaki dan berski sejauh 540 kilometer.

“Kita semua tahu yang Kutub Utara adalah dataran beku di atas permukaan laut, jadi kita semua perlu sentiasa berhati-berhati untuk memastikan kejayaan ekspedisi ini,” katanya.