Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, Pangkalan Udara Sen­dayan yang dibina dengan keluasan keseluruhan 303.5 hektar sedang dalam fasa terakhir pembinaannya dan bakal memulakan operasinya secara berperingkat bermula Januari ini.

“Pangkalan ini akan dijadikan pusat latihan terbesar untuk seluruh anggota serta dilengkapi dengan fasiliti dan kemudahan lain bagi menam­bah keselesaan dan keupaya­an TUDM.

“Saya percaya, dengan ada­nya fasiliti baharu ini ia akan menjadi pemangkin semangat kepada TUDM agar lebih efektif demi merealisasikan misi untuk menjaga kedaulatan ruang udara,” katanya dalam satu sidang akhbar dekat sini hari ini.

Tambah beliau, pengoperasian pangkalan baharu tersebut dilakukan secara berpe­ringkat melibatkan pelbagai unit dan pangkalan sedia ada.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan TUDM 2017 kepada 138 pegawai dan anggota yang telah memberi khidmat cemerlang serta mengharumkan nama TUDM.

Anugerah Kecemerlangan tersebut merupakan acara tahun TUDM yang mengangkat penerima cemerlang daripada pelbagai kategori termasuklah Pingat Pertubuhan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB), Anugerah Sukan, Anugerah Terbang Selamat, Anugerah Anggota Terbaik, Anugerah Skuadron Terbaik, Anugerah Kuaters TUDM Terbaik, Anugerah Pangkalan Terbaik dan Anugerah Rumah Keluarga.

“Syabas kepada semua pe­nerima, kejayaan mereka hari ini adalah pemangkin kepada kecemerlangan anggota-anggota TUDM lain di masa hadapan,” ujarnya.

Yang turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jene­ral Datuk Seri Abdul Mutalib Ab. Wahab; Panglima Bantuan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Wan Normazlan Che Jaafar dan Komander Pangkalan Udara Subang, Jeneral Datuk Shamsuddin Kassim.