Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, hal ini berikutan kebanyakan hotel antarabangsa masih mengamalkan polisi tersebut atas alasan tiada sebarang arahan hitam putih yang diterima daripada pihak MAH terhadap me­reka.

Katanya, kenya­taan tersebut ha­ruslah mengandu­ngi arahan kod etika pemakaian yang membenarkan para pekerja hotel wanita ber­agama Islam memakai tudung ketika bekerja.

“Kenyataan itu penting supa­ya pi­hak hotel ti­dak sewenang-wenangnya berselindung di sebalik alasan mereka tidak menerima apa-apa arahan daripada MAH untuk terus mengamalkan polisi itu.

“Perkara ini pun sudah lama berlaku dan berlanjutan, namun tiada keputusan jelas diambil. Jadi, saya berasakan sudah tiba masanya untuk ia diselesaikan dengan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenya­taan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung isu tersebut bakal diambil alih oleh Kementerian Sumber Manusia untuk di­selesaikan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Ahmad Yaacob mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan justifikasi yang jelas dalam Akta Kerja 1955 berhubung kod etika pemakaian pekerja di negara ini.

“Isu larangan­ bertudung ini ­wu­jud kerana tia­da penyelara­san dalam etika pemakaian pekerja di peringkat undang-undang. Oleh itu, penyelarasan tersebut perlu dimasukkan ke dalam Akta Kerja 1955 berkaitan kod etika pemakaian pekerja.

“Etika pemakaian tersebut perlulah berdasarkan hak asasi pekerja dan agama yang sesuai dengan budaya dan tatacara masyarakat Malaysia termasuklah kebenaran untuk bertudung,” katanya.