MOHD. NOR YHAZID IDRIS
MOHD. NOR YHAZID IDRIS

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, suspek yang berusia 42 tahun ditahan pukul 3 petang tidak sampai 24 jam selepas kejadian itu di hadapan sebuah bengkel di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam di sini.

“Kejadian berlaku pada pukul 6.45 petang Ahad lalu apabila mangsa yang sedang bertugas di Jonker Walk mengarahkan sebuah kenderaan jenis Subaru berwarna hitam yang dipandu melawan arus supaya berpatah balik.

“Bagaimanapun pemandu kenderaan tersebut memandu laju ke arah anggota Rela ber­kenaan sebelum keluar dari kenderaan sambil membawa objek dipercayai sebatang kayu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nor Yhazid, suspek kemudian mengugut untuk memukul mangsa dan memberitahu akan membawa rakan untuk memukul anggota berusia 33 tahun itu.

Ujarnya, pergaduhan itu bagaimanapun disuraikan oleh orang awam dan mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Tambah beliau, polis turut merampas sebatang rotan panjang untuk tujuan siasatan dan suspek direman selama empat hari sehingga Ahad ini mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.