Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012 itu dalam laman Facebook peribadinya ‘Lulu G-Dolphine’ mendedahkan dia kini berada dalam keadaan tidak selesa dan berasakan perlu meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

Ianya berkaitan dengan hal kewangan di mana Pandelela mendakwa sebuah organisasi gagal melunaskan bayaran kepadanya sejak lapan bulan lalu.

“Saya mahu anda tahu bahawa saya berasa tidak selesa sekarang, yang bermakna ini bukan masa yang terbaik bagi saya untuk menyatakan masalah saya.

“Tetapi dalam keadaan ini adalah penting untuk saya mengatakan ini dan meminta pendapat anda. Apabila sebuah organisasi berhutang wang kepada anda selama hampir lapan bulan, apakah anda harus berasa marah dan menyuarakan (rasa hati) atau hanya menunggu sehingga seseorang di sana untuk bangun dari tidur mereka?,” katanya dalam status itu, semalam.

Penerjun berusia 21 tahun itu bagaimanapun tidak menamakan organisasi terbabit tetapi jelas berasa marah dan menyifatkan perlu berbuat sesuatu untuk menyedarkan pihak berkaitan akan situasinya.

Namun selepas hampir sejam posting berkenaan kemudiannya dipadamkan.

Pandelela adalah antara atlet yang disandarkan harapan untuk Malaysia merangkul pingat dalam Sukan Olimpik dan sebarang masalah yang boleh menjejaskan konsentrasinya terhadap persediaan ke Rio de Janeiro tidak sepatutnya timbul, lima bulan sebelum temasya 2016 berlangsung. – UTUSAN ONLINE