Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A. Xavier Jayakumar berkata, ini kerana adalah tanggungjawab kerajaan negeri itu sendiri untuk mengekalkan hutan berkenaan sebagai kawasan tadahan air.

Katanya, kerajaan negeri sepatutnya boleh mengambil manfaat daripada hutan simpan dengan antara lain memperbanyakkan eko-pelancongan serta mencari kaedah lain meningkatkan pendapatan negeri tanpa bergantung kepada hasil hutan.

"Adakan eco-tourism dan sebagainya. Sekarang eco-tourism ini dinikmati orang luar negara, mereka sanggup bayar untuk tinggal di dalam hutan," katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang ingin tahu sama ada wajar bagi Kerajaan Persekutuan membayar pampasan kepada kerajaan negeri yang menggazetkan hutan sebagai hutan simpan.

Berdasarkan data, Xavier Jayakumar berkata, kawasan hutan di seluruh negara merangkumi 55.52 peratus, seluas 18.24 juta hektar. - BERNAMA