Menteri Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, inisiatif dirintis Jabatan Muzium Malaysia dengan kerjasama Muzium Tapak Zhoukoudian, selaras hasrat mempromosi pertukaran nilai budaya bagi kedua-dua negara.

Beliau berkata, melalui Inisiatif Satu Jajaran Satu Laluan (OBOR) yang kini telah 5 tahun diperkenalkan, pameran ini menjadi antara medan terpenting untuk mengukuh hubungan bilateral Malaysia-China yang telah dibentuk lebih 44 tahun lalu.

“Inisiatif kerjasama yang telah dirintis Allahyarham Tun Abdul Razak sejak puluhan tahun lalu, kini diperteguhkan hasil usahasama erat yang terbina. Pihak kementerian menyokong usaha Jabatan Muzium bagi mengukuhkan hubungan strategik bukan sekadar budaya malah,mencakupi ekonomi, politik dan keselamatan,” katanya dalam perasmian Pameran Peking Man - Tapak Warisan Zhoukoudian di Muzium Negara di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Duta Rebublik Rakyat China, H.E Bai Tian; Pengarah Tapak Warisan Zhoukoudian, Dong Cuiping dan Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Kamarul Baharin Kasim.

Pameran Peking Man selama lebih dua bulan mengetengahkan asal-usul sejarah awal manusia Peking berusia 700,000 tahun dan cara hidup nomad yang diamalkan mereka. Selain itu, pameran pertama kali di Malaysia itu turut menampilkan kerangka tulang dinousor yang dikatakan telah berusia jutaan tahun.

Menurut Mohamed Nazri, keyakinan dan kepercayaan kerajaan Republik Rakyat China untuk bersama-sama menganjurkan pameran Peking Man pertama seumpamanya di luar tanah besar China, adalah satu perhargaan besar buat Malaysia.

“Bersandarkan nilai kepercayaan sedia ada, mereka yakin berkongsi budaya dan sejarah warisan bangsa dengan kita. Lebih menarik, kos berkaitannya termasuk pengangkutan, penjagaan dan senggara ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Republik Rakyat China,” katanya. - UTUSAN ONLINE