SYED MOHAMMAD FAIZ AZEMMANT
SYED MOHAMMAD FAIZ

Presiden Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, PAKP juga menjunjung kasih kepada Sultan Ahmad Shah yang terkenal dengan sifat mesra rakyat dan raja berjiwa rakyat.

Tambahnya, PAKP yakin Tengku Abdullah dapat meneruskan kepemimpinan Sultan Ahmad Shah yang begitu dekat di hati rakyat.

Tambahan lagi, dengan keadaan baginda yang masih sihat, Tengku Abdullah boleh menjelajah ke seluruh negeri ini bagi bertemu dan beramah mesra dengan keseluruhan rakyat.

"Itu jugalah yang dibuat oleh Sultan Ahmad Shah yang cukup dekat di hati rakyat dan PAKP berharap Tengku Abdullah dapat meneruskan kepemimpinan ayahanda baginda.

"Bagi seluruh rakyat Pahang, Tengku Abdullah sememangnya mengambil berat setiap inci permasalahan rakyat di negeri ini baik daripada ekonomi, sosial hingga politik," katanya dalam kenyataan di sini har ini.

Menurut Syed Mohammad Faiz, baginda bukan seorang raja yang bersemayam di atas takhta semata-mata, sebaliknya seorang pejuang yang tidak pernah mengalah dalam isu melibatkan kepentingan negeri dan rakyat.

Tambahnya, Tengku Abdullah membuktikan sifat baginda yang tidak akan berdiam diri dalam memastikan kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat serta negeri terus dipertahankan.

"Tidak boleh dinafikan, segala tindak-tanduk baginda itu dibuat atas nama melindungi kepentingan rakyat dan negeri ini," katanya. - UTUSAN ONLINE