Pengarah JBPM negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata, jenazahnya  akan dibawa untuk dikebumikan di Pasir Puteh, Kelantan.

"Dukacita dimaklumkan bahawa pegawai bomba Abu Zarin dari Balai Temerloh yang dipatuk ular kembali ke rahmatullah pada pukul  12.54 malam tadi.

"Bersamalah kita mendoakan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya di sini hari ini.

Difahamkan, Abu Zarin yang berasal dari Pasir Puteh dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, selepas dipatuk ular buat kali ke sepuluh ketika cuba memindahkan reptilia berbisa tersebut Selasa lalu.

Allahyarham yang terkenal dengan kemahiran menjinak dan menangkap ular tidak sedarkan diri kemudian dipindahkan ke Hoshas di Temerloh untuk rawatan lanjut.

Abu Zarin sebelum ini dilaporkan telah dua kali tidak sedarkan diri termasuk pada Selasa lepas.

Kali pertama dia dilaporkan tidak sedarkan diri adalah ketika dipatuk ular sewaktu menjalankan tugas di Segamat, Johor tahun lalu. - UTUSAN ONLINE