MOHAMMAD ADIB HUSAIN

Menurut Ketua Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain, penglibatan golongan itu sedang dikaji dengan teliti dari sudut perundangan termasuklah mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak mengenai pengurusan kes yang berkaitan gangguan bersifat mistik tersebut.

“Hari ini kita mengadakan seminar berhubung kes-kes di Mahkamah Syariah yang memerlukan hakim-hakim diberi pendedahan umum tentang keterangan saksi yang melibatkan kes sihir dan gangguan makhluk halus berserta kaedah perubatan alternatif Islam di Malaysia.

“Mengambil kira realiti pe­ngendalian kes-kes di Mahkamah Syariah serta pengalaman hakim-hakim Syarie, memang wujud kes-kes yang mempunyai unsur-unsur berkaitan mistik. Namun tiada kaedah tertentu untuk mengesahkannya pembuktian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengendalian Kes Mahkamah Syariah Melibatkan Gangguan Makhluk Halus di Jabatan Kehakiman Syariah Se­langor (Jakess), di sini hari ini.

Tambah beliau, penglibatan golongan pakar dalam bidang perubatan alternatif Islam itu dilihat relevan kerana perkara yang melibatkan sihir serta ghaib itu kebiasaannya tidak dapat dilihat menerusi mata kasar.

Justeru, dalam konteks perbicaraan kes ini di Mahkamah Syariah, jelasnya, mahkamah tidak boleh lagi menyamakan prosedur bagi kes-kes yang melibatkan sihir serta gangguan makhluk halus ini dengan prosedur kes-kes yang lain kerana ia mewujudkan ketidakadilan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam sesuatu perbicaraan.

“Sebagai contoh di dalam kes cerai, bagaimana kita hendak mengenal pasti sama ada dakwaan sebelah pihak bahawa wujudnya pihak ketiga iaitu makhluk halus yang menyebabkan kepada berlakunya percerai­an,” ujarnya.