Sepohon pokok Telinga Gajah atau nama sainstifiknya Enterolobium Cyclocarpum berdiri gagah di Ladang 16 Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak 40 tahun lalu.

Pohon yang penuh kenangan itu bagaimanapun tumbang pada 6 Januari lalu mengundang kesedihan bukan sahaja buat warga UPM malahan masyarakat Lembah Klang.

Pohon itu digelar 'Tree of Life UPM' oleh pelajar dan kakitangan UPM serta sering menghiasi iklan televisyen, akhbar, majalah, drama dan filem termasuk filem Lagenda Budak Setan lakonan Farid Kamil dan Lisa Surihani.

Poster Lagenda Budak Setan dengan pohon ikonik UPM turut terdapat dalam poster tersebut.
Poster Lagenda Budak Setan dengan pohon ikonik UPM turut terdapat dalam poster tersebut. 

Kemuncak paparan keindahan pokok tersebut turut diabadi di ruang angkasa antarabangsa pada 2 Ogos 2017 apabila pesawat memaparkan imej pokok ikonik dan jenama UPM pada pesawat Airbus 320 AirAsia.

Pohon 'Tree of LIve" UPM menghiasi salah sebuah pesawat AirAsia.-Foto Facebook Khairul Anuar Muhamad
Pohon 'Tree of LIve" UPM menghiasi salah sebuah pesawat AirAsia.-Foto Facebook Khairul Anuar Muhamad 

Menurut pengguna Facebook dengan akaun Syirfan Indra, pohon besar itu mungkin sebatang pokok biasa tapi bagi alumni dan pelajar UPM pohon Telinga Gajah itu merupakan sebatang pokok tunggal di atas bukit yang mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri.

"Itulah tempat melepas lelah (kononnya letih dengan tugasan), tempat dating, tempat kecewa, tempat lepak ataupun tempat pertemuan bila bergraduasi. Istimewanya tempat ini kerana menawarkan angle gambar yang cukup istimewa. Ia bagai tree of life bagi pelajar UPM.

"Ambillah gambar dari sudut manapun, ia tetap cantik. Dengan biasan cahaya matahari dan 'falsafah sebatang pokok', pasti terhasillah gambar bagai terhasil dari tangan jurukamera terlatih lagi terkenal," kata Syirfan Indra.

Seorang pengguna Facebook, Khairul Anuar Muhamad Noh berkata, 'pohon kehidupan UPM itu tumbang akibat serangan kulat ‘Rigidoporus Lignosus’ yang menyebabkan penyakit akar putih (white root disease).

Tree of live UPM tumbang menyembah bumi selepas gagal diselamatkan oleh pakar.
Tree of live UPM tumbang menyembah bumi selepas gagal diselamatkan oleh pakar. 

Pakar botani dari UPM yang suatu ketika dulu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia yang menghimpunkan pakar-pakar pertanian cuba menyelamatkan pokok tersebut sejak tahun lalu.
 
"Kumpulan pakar UPM yang mula menyedari tanda pokok itu diserang penyakit telah memulihkannya sejak tahun lalu dengan membuat rawatan tanah untuk menggalakkan pertumbuhan pokok.

"Walau bagaimanapun, pertumbuhan daun dan kalus baru gagal mengimbangi kerosakan penyakit yang telah lama menyerang dan merebak dengan kadar yang cepat,"tulis Khairul Anuar dalam Facebooknya.

Patah tumbuh hilang berganti, UPM yang sedia memahami manifestasi pokok itu buat pencintanya akan menggantikan pokok kesayangan ramai dengan pokok yang sama setelah rawatan tanah dibuat dengan segera, kata Khairul Anuar.-UTUSAN ONLINE