Mohd Faezli Khusssin, memberitahu, pakaian sekolah serendah RM5 itu diambil dari pembekal secara pukal di Tangkak, Johor sebelum dijual di beberapa lokasi seperti Muar di Johor serta Gemas, Bahau dan Seremban di Negeri Sembilan.

“Saya mengambil inisiatif menjual pakaian sekolah baharu yang harganya jauh lebih murah berbanding harga di pasar raya bagi membantu golongan berpendapatan rendah membeli pakaian sekolah untuk anak-anak.

“Saya telah menjual antara 4,000 sehingga 8,000 pakaian sekolah di Muar, Gemas dan Bahau. Lokasi ini (Seremban) adalah lokasi terakhir jualan. Dengan itu, saya sudah menjual sebanyak 15,000 helai pakaian keseluruhannya. Saya bersyukur kerana pelanggan berpuas hati dengan pakaian yang dibeli,” katanya kepada S2.

Ditanya adakah jualan itu menguntungkan, Mohd Faezli memberitahu, dia hanya mengambil untung 50 sen bagi setiap helai pakaian yang dijual.

“Saya tidak kejar untung sangat kerana niat saya adalah untuk memberi peluang kepada ibu bapa berpendapatan rendah menyediakan pakaian baru untuk anak-anak,” ujarnya.

Tambahnya, jualan di setiap lokasi sentiasa mendapat sambutan menggalakkan kerana harga yang sangat berpatutan.

“Saya tahu ketika ini ramai ibu bapa berusaha mencari keperluan sekolah yang murah. Jadi, sebagai peniaga, ini peluang saya untuk membantu mereka, selain saya juga dapat menjana pendapatan tambahan pada musim cuti sekolah ini,” katanya.