Hari ini, impian Rizan Kabul, 40, menjadi kenyataan apabila berjaya menerima segulung Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia dalam Majlis Konvokesyen UPM Ke-41.

Menurutnya, semangat untuk meneruskan pengajian datang secara tiba-tiba apabila melihat kegigihan pelajar yang berkerusi roda menempuh cabaran walaupun dalam keadaan kurang sempurna.

“Setiap kali saya bertugas dalam majlis konvokesyen selama enam tahun berturut-turut, hati saya meronta-ronta untuk menyambung pengajian, lebih-lebih lagi apabila saya melihat ramai graduan yang berkerusi roda.

“Jika mereka yang kurang upaya mampu meraih kejayaan sedemikian, kita yang sempurna pun boleh turut sama berjaya seperti mereka,” katanya di sini, hari ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga memiliki Diploma Sains Komputer di universiti sama pada 2005.

Rizan yang mula berkhidmat di UPM sejak 2007 sebagai pembantu keselamatan melanjutkan pengajian dengan mengikuti Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ).

“Cabaran belajar secara PJJ amat getir ekoran jadual kelas yang kadang kala bertindih dengan jadual kerja menyebabkan saya terpaksa ponteng dan kertas projek pernah ditolak,” ujarnya.

Tambah Rizan, semua dugaan yang dilaluinya menjadi kenangan manis dan satu kenikmatan dirasai apabila berjaya memegang ijazah walaupun dirinya dikenali sebagai ‘pak guard’.