Malah jelas Raja Muhammad Danial, bapanya yang cukup mesra dipanggil Pak Engku sempat me­nyampaikan pesanan itu kepadanya sebelum dimasukkan ke Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) pada Khamis lalu bagi menjalani pembedahan.

“Ayah pesan kepada saya supaya jaga syarikat ini, sebab Kuzie Catering ini umpama ma­ruah dia, syarikat ini adalah kebanggaan dia. Insya-Allah saya akan cuba belajar ganti dia,” katanya dalam linangan air mata ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah Pak Engku, 57, yang cukup dikenali sebagai pengendali perkhidmatan kate­ring selebriti dan orang kenamaan tersohor di negara ini selamat di­semadikan di Makam Diraja Shah Alam kira-kira pukul 11 pagi.

Perjalanan terakhir Allahyarham menuju alam akhirat yang kekal abadi itu turut disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Selain itu, ratusan sahabat handai termasuk golongan ke­namaan, artis dan kerabat diraja turut hadir memberikan penghormatan terakhir.

Allahyarham yang menghembus nafas terakhir 9.10 malam tadi akibat masalah diabetes meninggalkan balu, Datin Ramziah Samad, 47, serta tiga anak iaitu Raja Muhammad Danial, Raja Putri Zarith Sania, 18, dan Raja Muhammad Harith Ifran, 17.

Sementara itu, Ramziah ketika ditemui berkata, kesihatan suaminya mula merosot sejak tiga bulan lalu akibat masalah diabetes, buah pinggang dan jantung sebelum bertambah buruk kira-kira dua minggu lalu.

“Pak Engku ini seorang yang kuat walaupun sakit sehinggalah dua minggu lalu dia terpaksa menggunakan kerusi roda selepas terdapat luka pada kakinya yang berpunca daripada masalah diabetes dan memerlukan pembedahan segera.

“Malangnya disebabkan ke­adaan jantung Pak Engku yang lemah, pembedahan itu tidak berjaya tetapi saya reda dengan pemergian dia walaupun sedih. Arwah pergi dalam keadaan cukup tenang,” katanya.