Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, seramai 100 remaja dan belia yang menghadapi masalah sosial dan jenayah dari setiap negeri akan dipilih untuk menyertai Padu secara sukarela dalam usaha mengelakkan mereka daripada terus terjebak dalam gejala negatif.

Walau bagaimanapun beliau berkata, pihaknya terlebih dahulu perlu melihat keberhasilan penganjuran Padu yang kini dijalankan secara rintis di Kuala Lumpur dan Selangor menerusi penyertaan 68 belia termasuk empat wanita sejak September lalu dan dijangka berakhir pada Disember ini.

“Melihat peningkatan statistik belia yang terlibat dalam aktiviti jenayah pada setiap tahun, kementerian memerlukan satu inisiatif baharu di bawah Pelan Transformasi Belia untuk memastikan tiada golongan belia dipinggirkan daripada arus pembangunan.

“Oleh itu, Padu akan menyediakan peluang kepada para belia terbabit untuk membolehkan mereka melakukan aktiviti berfaedah, selain mengasah bakat serta membangunkan potensi positif dalam diri mereka menerusi modul tertentu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Padu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh.

Khairy memberitahu, Padu yang kali pertama diwujudkan di negara ini merupakan satu pendekatan bimbingan ‘dari belia kepada belia’ apabila rakan sebaya sendiri yang menjadi fasilitator kepada para peserta.

Katanya, fasilitator itu dikenali sebagai pekerja belia dan mereka akan mendekati golongan remaja serta belia menerusi cara turun padang.

“Menerusi projek perintis ini, seramai 29 pekerja belia telah dilantik sebagai fasilitator kepada setiap remaja serta belia bermasalah dan dijangka kita memerlukan 50 orang lagi sekiranya hasrat memperluas Padu di seluruh negara dilaksanakan pada tahun 2015.

“Padu ini dilihat lebih berkesan berbanding beberapa kempen yang dianjurkan sebelum ini kerana konsep tersebut lebih menyeluruh, selain menggunakan pendekatan dari hati ke hati,” katanya.

Malah menurutnya, selepas program itu tamat, para peserta tidak akan dibiarkan begitu sahaja kerana mereka akan diberikan bimbingan dan pendidikan khusus di mana-mana pusat latihan vokasional, sekali gus bakal membina masa hadapan yang cerah.