Pengerusi PADU, Datuk Seri Alias Ahmad dalam satu kenya­taan berkata, pemilihan PADU sebagai penerima anugerah itu juga adalah hasil daripada transformasi Pelan Pendidikan sistem pendidikan nasional.

Selain itu katanya, PADU di­pilih sebagai penerima kerana pengiktirafan yang diberikan untuk visi, inovasi dan diakui dalam menyampaikan perubahan transformasi kepada pendidikan seterusnya memberi kesan positif yang berpanjangan demi kepen­tingan rakyat,

“Kementerian Pendidikan ingin menyatakan rasa bangga kerana menerima anugerah yang berprestij ini.

“Pelan Pendidikan ini adalah dokumen kebangsaan diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNES­CO) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta berada di landasan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

PADU yang ditubuhkan pada 2013 berperanan untuk memacu pelaksanaan semua inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di kementerian dan sekolah.

Di samping itu, PADU memainkan peranan menyokong bahagian yang melaksanakan inisiatif PPPM dengan gandingan tenaga pakar yang memiliki prestasi cemerlang dalam penyelesaian masalah, pelaksanaan serta jalinan kerjasama.

Anugerah tersebut telah diterima Ketua Pegawai Eksekutif PADU, Khadijah Abdullah dalam satu majlis berprestij yang diadakan di London, semalam.

Antara syarikat yang menjadi pesaing kepada pelbagai kategori dalam anugerah itu termasuk Royal Dutch Shell Plc, Kumpulan Perbankan Lloyds, Rolls-Royce, BAE Systems dan Fujitsu.