Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, hampir setiap tahun negara terpaksa mengimport sebanyak 250,000 tan metrik beras wangi dari negara lain sehingga menyebabkan rakyat terpaksa membeli pada harga mahal.

“Walaupun harganya belum dapat ditentukan, tumpuan penanaman, pengeluaran dan penjualan padi ini adalah untuk kegunaan tempatan maka harga­nya akan menjadi lebih murah,” katanya selepas melancarkan varieti baharu padi MARDI itu di Laman Padi sempena Pame­ran Pertanian, Hortikultur dan Agropertanian (MAHA) 2016 di Tapak Ekspo Pertanian (MAEPS) Serdang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setia­usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron.

Ali berkata, sebanyak lima tan beras wangi mampu dihasilkan di kawasan seluas satu hektar dengan ciri-ciri beras yang lebih panjang, tirus, kurang kanji, tahan penyakit dan paling penting dapat memberikan pendapatan dua kali ganda kepada pesawah.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat di negara ini supaya ber­usaha mengurangkan pembaziran makanan kerana statistik menunjukkan sebanyak 2.2 juta tan makanan terbuang setiap tahun.

“Menjelang tahun 2030 penduduk Malaysia dijangka bertambah 50 juta orang dan pengelua­ran makanan negara khususnya padi perlu ditingkatkan dengan penggunaan teknologi moden termasuk menggunakan dron untuk meracun serangga, mengu­rangkan penggunaan air dan menggunakan mesin memproses beras yang lebih efisien walaupun keluasan tapak pertanian yang masih sama,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau me­nyampaikan Anugerah Pe­tani Berhasil Tinggi dan Progresif MAHA 2016 kepada Mohd. Rozhan Yusof, 36, dari Permatang Bogak, Pulau Pinang yang berjaya menghasilkan 9.62 tan beras (empat musim) untuk kate­gori Dalam Jelapang.

Tempat kedua dimenangi Hakimi Haron, 46, dari Permatang Keriang, Perlis yang menghasilkan 8.56 tan beras sementara tempat ketiga dimenangi Mohd. Fathi Daud, 32, dari Permatang Pauh yang menghasilkan 8.09 tan beras.

Bagi kategori Luar Jelapang tempat pertama dimenangi Mansor Ibrahim, 63, dari Kota Kuala Muda, Kedah yang berjaya menghasilkan 7.20 tan beras empat musim, diikuti Mohd. Nizam Ram­li, 37, dari Titi Gantung, Perak de­ngan enam tan metrik beras.

Ooi Yun Loan, 27, dari Langkap, Perak pula ditempat ketika setelah menghasilkan 8.32 tan beras.