Dengan kemudahan yang disediakan itu stadium berkenaan kelak berupaya menjadi lokasi bagi pengangjuran kejohanan-kejohanan besar di peringkat negeri dan kebangsaan pada masa depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata,  padang bermutu tinggi yang menarik serta kemudahan sokongan yang bakal disediakan secara berperingkat akan dapat meningkatkan penglibatan kalangan muda dalam sukan itu untuk mengasah bakat .

"Semasa saya menjadi  Menteri Belia dan Sukan dahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan idea untuk membina satu padang sintetik di Kampung Mak Chili, dan  saya mengambil inisiatif itu, 'ujarnya.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kemaman menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Fit Kemaman di  Stadium Mini Mak Cili sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Ahmad Said yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  Kijal; calon DUN Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera dan calon DUN Air Putih, Wan Abdul Hakim  Wan Mokhtar.

Katanya, padang sintetik ini menyediakan kemudahan bermain dalam keadaan selesa sepanjang masa manakala kos penyelenggaraan amat rendah dan mampu bertahan sehingga lapan tahun tanpa sebarang masalah.

"Projek ini siap mengikut masa yang ditetapkan dan Kemaman kini mempunyai kemudahan untuk mengendalikan kejohanan-kejohanan besar. Selain itu, akan ada penambahan bilik persalinan, pusat bina badan dan lampu kelak. 

"Kita harap Kemaman akan melahirkan lebih ramai jaguh bola sepak kelak, sebagaimana hoki  yang telah disediakan padang sintetik," ujarnya. - UTUSAN ONLINE