Nur Jazlan Mohamed

Prosiding ini akan turut memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan (MoF), Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Rahmat Bivi Abdullah, kata Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed menerusi satu kenyataan di sini.

Pada minggu berikutnya, 26 Mei 2015 pula, PAC akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, serta bekas CEO pertama 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi, yang berkhidmat sejak Mac 2009 hingga Mac 2013.

Nur Jazlan Mohamed berkata, jawatankuasa berkenaan telah sebulat suara bersetuju untuk memulakan prosiding siasatan terhadap 1MDB pada satu perbincangan khas pada 30 April lepas.

“Dalam perbincangan ini, semua ahli PAC yang terdiri daripada lapan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) serta lima daripada pembangkang, sebulat suara bersetuju memanggil semua pihak terbabit dalam pengurusan kawalan tadbir urus 1MDB sejak ia mula ditubuhkan pada 2009 selepas bertukar fungsi daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA),” katanya.

“PAC akan memulakan prosiding dengan memanggil Pegawai Pengawal syarikat 1MDB iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah EPU yang pernah hadir memberikan keterangan kepada jawatankuasa ini pada 2012,” katanya.

Nur Jazlan berkata, surat panggilan terhadap Kementerian Kewangan dan EPU sudah dihantar pada 6 Mei lepas dan mengikut peraturan dan kuasa yang diberikan kepada PAC oleh Parlimen Malaysia, semua pihak berkaitan perlu hadir di hadapan jawatankuasa ini.

Katanya, EPU telah menghantar surat balas kepada PAC pada Jumaat lalu selepas menerima surat panggilan yang dikeluarkan pada 6 Mei, untuk memaklumkan unit berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap tadbir urus 1MDB.

Bagaimanapun, Nur Jazlan berkata, PAC tetap mahukan EPU hadir memberikan keterangan di hadapan jawatankuasa berkenaan kerana mereka pernah hadir sebanyak dua kali bagi menjelaskan mengenai pelaburan syarikat terbabit selain turut bertanggungjawab terhadap pembangunan tanah Tun Razak Exchange (TRX) serta Bandar Malaysia, Sungai Besi.

“Kita sudah menghantar semula surat panggilan terhadap EPU pada hari ini, bagi memastikan mereka hadir pada 19 Mei ini bersama-sama MoF bagi memulakan prosiding.

“PAC berpendapat jawatankuasa ini tidak boleh menunggu laporan Ketua Audit Negara yang turut mengaudit syarikat ini atas arahan Kabinet, kerana terlalu banyak persepsi serta spekulasi dalam kalangan rakyat yang semakin bimbang ke atas status operasi serta kewangan dana pelaburan kerajaan ini,” katanya. – BERNAMA