Sambil melahirkan rasa kecewa, Ketuanya, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, hasrat itu langsung tidak mengambil kira kepentingan rakyat negeri ini yang semakin terhimpit dengan bebanan sara hidup dan kos barang sejak cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperkenalkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Apatah lagi, tambah beliau, kenaikan tarif air itu juga dibuat ketika pelbagai bantuan yang disalurkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dimansuhkan dan dikurangkan kepada rakyat. 


“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sering berjanji tidak akan menaikkan tarif air sebelum ini, namun inilah hadiah kepada rakyat yang memberi mandat besar kepada mereka pada PRU-14 dengan menghukum menerusi kenaikan tarif air,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Ketua Menteri, Chow Kon Yeow awal hari ini yang mana kadar tarif air di negeri ini mungkin dinaikkan sehingga 20 peratus selari dengan pengumuman penstrukturan semula industri air oleh Kerajaan Pusat.


Dalam pada itu, Mohd. Norhiesam turut mempersoal kewajaran kenaikan tarif air itu memandangkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mempunyai kewangan dan pendapatan kukuh menerusi keuntungan puluhan juta ringgit setiap tahun.


Malah, katanya, kerajaan negeri sebelum ini juga sudah mengaut keuntungan besar daripada penjualan beribu-ribu hektar tanah dan hak kerajaan sekali gus boleh digunakan untuk menampung penstrukturan semula industri air tersebut.


“Adakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara sengaja ingin terus mengaut keuntungan dengan memaksa rakyat membayar melalui kenaikan tarif air ini?


“Penduduk sudah dibebankan dengan cukai-cukai pintu serta pembangunan yang dinaikkan dan paling sedih rumah-rumah yang didirikan tidak mampu dimiliki mereka negeri sendiri kerana harga yang terlalu mahal,” katanya. - UTUSAN ONLINE