Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mansor Fadzil berkata, lebih istimewa lagi, warga Felda yang berminat boleh menikmati potongan yuran pengajian sebanyak 10 peratus serta layak memohon pembiayaan pendidikan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut beliau, program pe­ngajian berkenaan mempunyai elemen tambahan iaitu kursus khas yang dibangunkan secara bersama oleh OUM dan Felda merangkumi sejarah, latar belakang, organisasi, perniagaan Felda serta tanggungjawab agensi itu.

“OUM mempunyai 37 pusat pembelajaran di seluruh negara dan ia memudahkan para pelajar untuk mengikuti sesi pembelajaran yang berdekatan dengan kediaman mereka.

“Selain itu, kami juga telah membangunkan aplikasi teknologi bagi membolehkan pelajar mengakses pembelajaran melalui kaedah dalam talian,” katanya dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara OUM dengan Felda di Menara Felda di sini hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Mansor dan Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) Felda, Anuar Malek serta disaksikan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad .

Mansor menambah, pemohon juga boleh memilih salah satu daripada 30 program peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah yang ditawarkan OUM menerusi kaedah pendidikan jarak jauh.

Dalam pada itu Shahrir berkata, kerjasama dengan OUM itu membuka peluang kepada warga Felda termasuk mereka yang berusia untuk mengikuti pembelajaran secara berterusan.
“Ini merupakan salah satu cara terbaik untuk warga Felda menambah ilmu melalui pembelajaran yang tersusun sambil bekerja,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Felda mengamalkan pendekatan terbuka dalam memastikan para petugas agensi berkenaan dan anak-anak mereka berpeluang untuk melanjutkan pengajian secara sistematik.