Dalam sesi selama kira-kira sejam, Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB), Datuk Dr. Ibrahim Yahaya mencurahkan segala ilmu yang ada dalam bidang pe­ngurusan media kepada para peserta Kursus Pengu­rusan, Simulasi dan Siaran Media anjuran anak syarikat UMMB, Sibermedia Sdn. Bhd yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.

Dengan pengalaman kira-kira 40 tahun dalam industri, antara perkara yang ditekankan Ibrahim ialah cara mengurus media dengan pendekatan tersusun, mengurus krisis la­poran negatif dan perancangan media jangka panjang dan pendek.

“Kursus ini adalah untuk melatih pegawai komunikasi korporat supaya bersedia dalam menghadapi dunia pekerjaan sebenar, termasuk menghadapi media dalam memastikan operasi agensi dan syarikat mereka berjalan dengan baik.

“Saya lebih menumpukan kepada usaha membentuk suatu pengu­rusan media berdasarkan pengalaman saya bekerja dengan bekas Timbalan Perdana Menteri selama tiga tahun,” katanya ketika ditemui selepas me­nyampaikan perkongsian dalam kursus tersebut di Ibu Pejabat UMMB, di sini hari ini.

Hingga kini, Sibermedia Sdn. Bhd. telah melaksanakan kira-kira 25 program berbentuk kursus dan bengkel berkaitan media dalam tempoh empat bulan setelah ditubuhkan pada Ogos lalu.

Pengurus Komunikasi Media Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) Badri Ibrahim berkata dia memilih untuk menyertai kursus tersebut bagi mengemas kini penge­tahuan dan kemahirannya dalam bidang berkenaan.