Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang awam terutamanya penduduk sekitar telah menunggu sejak awal pagi di tepi jalan berhampiran kompleks tersebut.

Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, dia terkejut melihat ramai anggota polis berkumpul di pekarangan kompleks mahkamah ketika keluar menghantar anak ke sekolah pukul 7 pagi.

“Selalunya kawasan ini sunyi dan memang tidak ramai orang, tapi pagi ini saya tengok beratus-ratus wartawan dengan jurukame­ra di depan mahkamah dan jalan raya pun sedikit sesak,” katanya hari ini.

Seorang petugas media antarabangsa yang dikenali sebagai Film berkata, dia telah menunggu di hadapan kompleks tersebut sejak pukul 6 pagi dan terkejut apabila mendapati sudah ramai petugas beratur untuk mendapatkan pas keselamatan.

“Saya terpaksa menetap di hotel berdekatan bagi mengelakkan terlewat. Kes ini bukan sahaja mendapat liputan meluas di Malaysia, malah diikuti rapat media antarabangsa yang mahu mengetahui perkembangannya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa buah hotel berdekatan mendapati kebanyakan bilik sudah habis ditempah.

Difahamkan, majoriti petugas media terutamanya media antarabangsa masih berkampung di sini kerana reman seorang lagi suspek kes pembunuhan Jong-nam iaitu Ri Jong-chol akan tamat Jumaat ini.