Rata-rata pengunjung yang ditemui Mingguan Malaysia gembira dan teruja dengan pelbagai aktiviti bertemakan sukan indoor dan outdoor yang dianjurkan pada Iskarnival Aktif kali ini sekali gus mempromosi gaya hidup sihat.

Bermula pada 10 pagi hingga 10 malam, Iskarnival Aktif 2017 itu dianjurkan bersama Iskandar Investment Berhad (IIB), Khazanah Nasional Bhd. dan UEM Sunrise Bhd. de­ngan pelbagai acara menarik antaranya pertandingan ragbi, pertandingan fotografi, zumba, persembahan buskers dan artis popular seperti Zainal Abidin, Joe Flizzo dan Alleycats.

Bagi Pensyarah Kolej Pembantu Perubatan Seremban, Mohd. Ehsan Manan, 33, berkata, dia dan keluarga yang menetap di Negeri Sembilan mengambil peluang penganjuran karnival itu untuk bercuti sempena hujung minggu.

Selain itu, tambahnya, dia yang merupakan bekas pemain ragbi juga mahu melihat pertandingan sukan yang dianjurkan pada karnival tersebut selain menikmati pelbagai aktiviti yang dijalankan di kompleks sukan itu.

“Sememangnya mahu melihat pertandingan ragbi, pada masa sama, saya dan isteri membawa anak buah berjalan-jalan di karnival ini yang menawarkan pelbagai program, makanan dan persembahan. Ia sememangnya satu penganjuran yang dapat dimanfaatkan masyarakat terutama dalam menjalani gaya hidup sihat,” katanya hari ini.

Bagi pelajar Universiti Newcastle di sini, S. Shammini, 20, karnival seumpama itu memberi peluang penduduk sekitar kawasan itu menjalankan pelbagai aktiviti beriadah selain mengisi masa hujung minggu dengan aktiviti sihat.

Biarpun pertama kali hadir ke karnival yang dianjurkan, namun dia melihat program seumpama itu cukup meriah selain menawarkan banyak pilihan makanan dan pada masa sama dapat bersama-sama pengunjung lain menyertai aktiviti.

“Saya sangat gembira dan melihat ramai pengunjung membuatkan kita sama-sama teruja untuk meninjau apa yang berlaku di sini,” katanya dan memberitahu Iskarnival Aktif 2017 merupakan destinasi yang perlu dikunjungi pada minggu ini.