Menurut mereka, diskaun 50 peratus wajar diteruskan kerana dapat mengurangkan beban mereka yang mempunyai tunggakan saman.

Pelajar unversiti awam, Ramlam Najimum, 23, berkata, peluang keemasan yang diberikan ibarat bulan jatuh ke riba bagi mereka untuk melunaskan saman yang tertunggak selama bertahun-tahun.

"Tunggakan saman saya mencecah RM900 jadi dengan diskaun 50 peratus ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya sebagai seorang pelajar.

"Walaupun terpaksa beratur dengan agak lama tetapi saya hargai usaha yang dilakukan oleh PDRM untuk meringkan beban rakyat," katanya yang ditemui ketika membayar saman di Balai Polis Tun HS Lee hari ini.

Manakala pesara Ezzaldin Yahya, 58, berkata, tindakan PDRM tepat pada waktunya ketika ramai dalam kalangan masyarakat yang terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

"Pastinya pihak PDRM memahami keadaan rakyat kerana perlu mananggung kos sara hidup yang tinggi dan kelebihan seperti ini sangat mesra rakyat jadi rugi bagi mereka yang tidak merebut peluang yang ada," ujarnya.

Sementara itu, bagi pembantu pegawai teknikal, Badli Shah Sabran, 38, tawaran seperti itu perlu diadakan di setiap negeri supaya semua orang dapat menikmati tawaran yang diberi secara menyeluruh.

"Saya sangat gembira dengan pendekatan yang diambil oleh PDRM dan saya harap peluang seperti ini akan diteruskan dan dilakukan di negeri-negeri lain juga bukan sahaja tertumpu di kawasan Lembah Klang," katanya.

Balai Polis Tun HS Lee antara balai polis yang diserbu orang ramai untuk melunaskan saman trafik berikutan tawaran diskaun 50 peratus sempena perayaan Deepavali.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, setakat pukul 12 tengah hari 500 pesalah trafik selesai membayar tunggakan hutang.- UTUSAN ONLINE