Kafe berkenaan yang telah dibuka sejak kelmarin menawarkan pelbagai sajian makanan ringan dan berat serta beraneka minuman sama ada sejuk atau panas dalam ruang yang cukup eksklusif.

Pelanggan boleh memilih sama ada untuk membeli secara ‘ala carte’ atau kombo mengikut citarasa masing-masing.

Antara menu yang dihidangkan termasuklah roti canai, nasi lemak, nasi campur, hot dog, bubur kacang hitam, sandwich, aneka minuman sejuk dan panas serta pelbagai lagi.

Seorang pengunjung, Rousni Ismail, 41, berkata, walaupun murah, namun makanan yang dihidangkan setanding dengan gerai-gerai di luar.

"Makanan yang disediakan segar dan sedap, memang meringankan beban orang ramai yang datang ke perhimpunan ini.

"Semua peringkat umur boleh datang ke sini kerana mereka menyediakan pelbagai makanan dengan harga yang sangat berpatutan," katanya ketika ditemui Utusan Online, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang guru, Mohd. Zuraiez Raiz berkata, orang ramai tidak perlu keluar daripada bangunan PWTC untuk mencari makanan kerana di situ mereka menyediakan menu yang lazat.

"Di sini RM6 saya boleh dapat nasi berlaukkan ayam, daging atau ikan dan sayur berserta minuman.

"Saya harap kafe ini diteruskan di masa-masa akan datang bukan sahaja ketika perhimpunan Agung UMNO tetapi juga hari-hari biasa," katanya.

Dalam pada itu, Jasmi Jasa, 37, berkata, dia berharap supaya lebih banyak meja dan kerusi ditambah memandangkan pengunjung yang datang semakin bertambah. - UTUSAN ONLINE