Rata-rata golongan muda di Kemaman, Terengganu yang menjadi lokasi laluan Sabri mahu menjadikan datuk kepada tujuh orang anak, lima menantu dan 12 orang cucu itu sebagai ikon dalam membentuk jati diri yang berkeyakinan tinggi.

Mohd. Hafizi Mohd. Saufi
MOHD. HAFIZI

Menurut Mohd. Hafizi Mohd. Saufi, 29, dia berasa kagum dengan semangat yang ada pada Sabri yang lebih mesra dipanggil Pak Sabri.

"Saya mengiringi dia berjalan kaki dari Paka ke Pantai Kemasik. Dia tidak ada rasa letih malahan kami orang muda ini terpaksa berlari ikut dia.

"Pada hal dia berjalan sahaja. Kami memang tercungap-cungap jugalah tapi kita tidak nampak wajah keletihan Pak Sabri," kata Mohd. Hafizi.

Nurul Iliani Mohd. Jaafar
NURUL ILIANI

Sementara itu Nurul Iliani Mohd. Jaafar, 33 berkata, Sabri sememangnya wajar menjadi ikon orang muda.

"Saya melihat Pak Sabri sebagai ikon. Sebagai warga muda saya memang sangat kagum dengan semangat dia. Walaupun dia telah berumur setiap hari Pak Sabri membuat latihan.

"Kami di Kemaman menjadikan Pak Sabri sebagai penasihat dalam aktiviti kelab yang kami tubuhkan iaitu Astaka.

"Kelab ini menjadi platform untuk kami mengorak langkah seperti Pak Sabri yang bakal mencipta sejarah sebagai pejalan kaki solo paling jauh di Malaysia," kata Nurul Nurul Iliani.

Dalam pada itu anak keenam Sabri, Mohd Arif, 24 berasa terharu dan sebak dengan sokongan yang diberikan masyarakat terhadap usaha bapanya itu.

"Melihat sokongan yang ayah terima sepanjang di melaksanakan Kelulut Walk membuatkan saya sebagai anak berasa sebak hingga menyebabkan air mata rasa hendak mengalir.

"Bagi saya apa yang ayah lakukan ini memberi inspirasi kepada kami anak-anaknya. InsyaAllah saya akan menjadi seperti ayah," kata Mohd. Arif.

Sabri memulakan program Kelulut Walk sejak 8 Oktober lalu di Taman Botani Negara, Shah Alam, Selangor dan dijangka berakhir di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 4 Disember dengan berjalan kaki sejauh 2,000 kilometer merentasi 14 negeri dalam tempoh 54 hari.

Kelulut Walk dianjurkan sempena Pameran Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016 yang berlangsung pada 1 hingga 11 Disember. Sehingga kini Sabri telah merentasi 9 negeri dan berjalan kaki secara solo sejauh 1,012 kilometer.

Kejayaan Sabri akan dicatat dalam Malaysia Book of Record sebagai pejalan kaki solo paling jauh di Malaysia. - UTUSAN ONLINE