Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu perlu menerima hakikat bahawa sebahagian besar orang Melayu bimbang dengan perkembangan yang berlaku hari ini.

Katanya, beberapa dasar berkaitan ekonomi dan pendidikan yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat mengancam hak dan kepentingan orang Melayu yang dipelihara selama ini.

"Sebagai contoh, ada desakan supaya segera melakukan reformasi kepada institusi-institusi tertentu kerajaan, sedangkan ia secara langsung akan menyentuh asas Perlembagaan negara dan menjejaskan kepentingan Melayu.

"Begitu juga dasar kesamarataan. Walaupun Islam agama rasmi dan bahasa Melayu bahasa kebangsaan, kita lihat pelaksanaan dasar-dasar oleh PH menodai asas Perlembagaan. Malah, ada yang menuntut supaya agama lain diberi sama taraf dengan Islam.

"Sebab itu saya menolak sekeras-kerasnya kenyataan Daim. Daim tak rasa terancam sebab dia duduk di Menara Ilham yang berhawa dingin, tetapi orang Melayu lain hidup di sawah padi yang panas terik," katanya semasa ditemui selepas Program Minum Petang Perkasa di Kuala Sawah, Rantau di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Daim semalam bahawa ramai orang Melayu terpengaruh dengan retorik politik perkauman dan agama seterusnya percaya Melayu dan Islam diancam oleh bukan Melayu.

Bekas Menteri Kewangan itu juga berkata, perasaan tidak selamat dengan bangsa lain antara faktor yang menghalang orang Melayu untuk maju.

Mengulas lanjut, Ibrahim turut menafikan orang Melayu terlalu emosi sehingga mempengaruhi persepsi mereka terhadap orang lain.

"Situasi yang terjadi sekarang adalah sebab orang Melayu tak emosi, terlajak baik. Banyak kejadian di mana Islam dan hak kita dihina. Tetapi mana ada orang Melayu mengamuk. Orang lain silap sikit melenting, nak minta tubuh Suruhanjaya Diraja dan lain-lain lagi," katanya.

Beliau turut mengingatkan Daim bahawa orang Melayu masih ketinggalan dan dasar ekonomi pula kini seolah-olah mengetepikan semangat Dasar Ekonomi Baru yang membantu kaum itu.

"Jangan menang sorak kampung tergadai. Lebih baik kita bising sekarang sebelum ia terjadi. Orang lain menjadi pemilik gedung, lot kedai tetapi orang Melayu hendak beli rumah mampu milik pun bergelut," katanya. - UTUSAN ONLINE