Beliau berkata, orang Kelantan terutamanya golongan wanita dilihat lebih cekap dalam mengusahakan perniagaan berbanding mereka yang berasal dari negeri-negeri lain termasuk Kedah mahu pun Selangor.

“Sebenarnya orang Kelantan bijak-bijak, kenapa mereka tak boleh buat di Kelantan, itu adalah soalnya. Pekerja-pekerja di Singapura pun orang Kelantan yang tinggal di Johor.

“Mereka cekap dan boleh bekerja tapi mungkin persekitaran tak kena di sana. Jadi, sama-samaah kita mengkaji persekitaran itu dan kenapa jadi demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada perwakilan dalam Sesi Dialog Masa Depan Bumiputera dan Negara Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir memberitahu, kerajaan negeri Kelantan tidak mampu menguruskan negeri itu tanpa bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, keadaan itu berlaku kerana negeri yang dipimpin di bawah kerajaan Pas tersebut tidak memiliki sumber kewangan yang cukup ekoran kekurangan hasil kutipan cukai.

“Sebenarnya kerajaan Kelantan tak mampu membiayai kerajaan Kelantan. Bbantuan kerajaan Pusat mesti diberi untuk menjadikan kerajaan Kelantan, kerana kekurangan kutipan cukai dan sebagainya.

“Negeri itu miskin sedangkan orang-orangnya pandai, ramai pegawai kerajaan tertinggi orang kelantan termasuk Seiausaha lama saya, mereka cekap-cekap tapi mesti beri iklim yang sesuai untuk memberi tumpuan pada pembangunan Kelantan,” katanya. - UTUSAN ONLINE.