Menteri Perdaga­ngan Dalam Ne­geri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kereta berkapasiti kuasa enjin 1,500 cc (1.5cc) dan motosikal berkapasiti kuasa enjin 125cc ke bawah hanya syarat umum dan tidak wajar diputar belit sesetengah pihak.

Jelas beliau, garis pendapatan diambil kira kerana kerajaan mahu memastikan subsidi sebanyak 30 sen seliter benar-benar dinikmati golongan berpendapatan rendah atau B40.

“Kriteria orang yang layak bukan satu sahaja, sebaliknya kita ambil kira kombinasi jenis dan umur kenderaan mereka serta garis pendapatan pemilik.

“Saya bagi contoh, ada orang kaya banyak kereta. Kereta 1.5cc itu mungkin kereta ketiga atau keempat dia. Jadi dia tidak layak. Kalau dia ada Mercedes-Benz 1.5cc, dia tetap tidak layak kerana tidak logik golongan B40 mampu beli Mercedes-Benz.

“Kemudian saya bagi contoh di Kelantan pula ramai yang bawa Mercedes dengan kuasa enjin 1.5cc tapi apabila kita tengok semula, itu kereta sudah lama sehingga 35 tahun. Jadi kita kena pertimbangkan kelayakan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Food Aid Foundation Cawangan Kelantan di Love Kitchen, Berek 12 di sini hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan pemilik kereta berkapasiti kuasa enjin di bawah 1,500cc dan motosikal berkapasiti kuasa enjin 125cc akan menikmati RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan kini berada dalam fasa membina mekanisme dan merangka peraturan bagi memastikan pelaksanaan program pemberian subsidi itu berjalan lancar.

Tambahnya, kerajaan akan melaksanakan satu sistem khusus menggunakan kad bagi memudahkan transaksi pembelian petrol membabitkan golongan sasar tidak lama lagi.