Memorandum diserahkan oleh Pengerusi Jaringan Kampung Wilayah Tanah Adat Pos Simor, Nur Mohd. Syafiq Dendi Abdullah kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya di pekarangan Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Menurut Nur Mohd. Syafiq, memorandum yang mengandungi 12 perkara itu merupakan jalan terakhir agar hak mereka di Gua Musang dapat terus dipertahankan daripada diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami bertindak kerana pencerobohan ini bukan sahaja mengakibatkan hutan digondol hingga menyebabkan pencemaran sungai dan menjejaskan sumber makanan kami, malah pihak berkenaan juga berani bertindak secara samseng serta mengugut Orang Asli menggunakan senjata api.

“Kerajaan baharu didesak mengambil tindakan tegas terhadap isu kelulusan tender pengambilan kayu balak tidak terkawal yang berlaku di kawasan kami,” katanya.

Yang hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Terdahulu, mereka yang terdiri daripada 17 perkampungan Orang Asli di Gua Musang berhimpun secara aman di hadapan Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Abu Bakar memaklumkan, Perdana Menteri bersedia untuk bertemu dengan wakil kumpulan tersebut pada pukul 3.30 petang ini.