Operasi berkenaan telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Timbalan Menteri Pertahanan yang baharu, Liew Ching Tong perlu memahami peranan serta fungsi agensi berkenaan.

Sehubung itu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mencabar kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan siasatan berhubung isu tersebut bagi memahaminya dengan lebih mendalam.

“Ini rahsia negara saya tidak boleh dedahkan sekarang, saya profesional tapi kalau dia betul-betul nak buat, gunakan agensi-agensi di bawah mereka sekarang untuk mencari kebenaran.

“Berbanding bercakap kepada khalayak, kena tahu apa itu MKN, saya rasa mereka tidak tahu fungsi kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Hishammuddin berkata, per­kara berkenaan Ops Yemen 2 telah beberapa kali dibahaskan di Parlimen dan beliau mempunyai hansard sebagai bukti.

Tegas beliau, dalam Ops Ye­men 2, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak terlibat langsung dalam pertempuran, malah mereka tidak berada di Yemen, sebaliknya berada di Arab Saudi bagi menjaga keselamatan rak­yat Malaysia di sana.

Menurut Hishammuddin, anggota ATM yang diatur gerak menyertai Ops Yemen 2 tidak dilatih untuk bertempur di negara itu dan perkara tersebut telah pun beliau jawab.

“Sudah enam bulan mereka menyiasat saya, mencari apa kesalahan saya dan yang terbaik mereka boleh lakukan adalah isu Yemen ini,” katanya.