Operasi berkenaan telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan berikutan itu Menteri Pertahanan baharu perlu memahami peranan dan fungsi agensi berkenaan.

Sehubungan itu, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mencabar kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk melakukan siasatan berhubung isu berkenaan bagi memahaminya dengan lebih mendalam.

“Ini rahsia negara saya tidak boleh dedahkan sekarang, saya profesional tapi kalau dia betul-betul nak buat gunakan agensi-agensi di bawah mereka sekarang untuk mencari kebenaran.

“Berbanding bercakap kepada khalayak, dia kena tahu apa itu MKN, saya rasa mereka tidak tahu fungsi kerajaan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong mencabar Hishammuddin memperjelaskan tentang isu Ops Yemen 2 dalam perbahasan di Dewan Rakyat esok.

Jelasnya, ini kerana adalah suatu kesalahan mengerakkan aset negara dengan jumlah pembiayaan tinggi tanpa mendapat kelulusan Kabinet.

“Ini memang tidak diputuskan oleh Parlimen ataupun Kabinet, biasanya keputusan begitu besar perlu diputuskan oleh Kabinet.

“Minta beliau (Hishammuddin) untuk bercakap di Parlimen esok, perkara ini bercanggah dengan dasar luar kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE