Notis tersebut dikeluarkan mengikut 32B Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang melibatkan nilai kompaun berjumlah RM8,700.

Timbalan Pengarah Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNT, Dr. Kamarudzaman Ahmad berkata, kesalahan itu antaranya menggaji pekerja tanpa mengambil suntikan tifoid, tidak mematuhi etika kebersihan pakaian dan etika kebersihan diri.

Beliau memberitahu, lain-lain kesalahan termasuklah pengendali makanan gagal memastikan tahap kebersihan premis dan makanan, tiada latihan atau kursus khas yang tetapkan.

Jelasnya, pihaknya mengambil 53 sampel makanan melibatkan 16 kantin sekolah bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan tahap kebersihan makanan untuk dianalisis.

“Hasil analisis mendapati 19 sampel (36 peratus) telah melanggar peraturan membabitkan 10 kantin sekolah yang telah diambil sampel. Pengusaha kantin juga dinasihatkan mengambil langkah perlu bagi memastikan makanan yang disedia dan dijual kepada pelajar benar-benar bersih, selamat dan bebas daripada pencemaran,” ujarnya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap melancarkan Ops Kantin Sekolah dan Anugerah Kantin Sekolah Contoh Negeri Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail, Sekolah Berprestasi Tinggi di sini semalam.

Pada majlis itu tiga buah sekolah dari daerah ini iaitu Sekolah (SK) Sultan Ismail, SK Seri Iman dan SK Ibok menerima Anugerah Kantin Sekolah Contoh bagi tahun ini.

Kamarudzaman berkata, pihaknya akan memastikan makanan yang disajikan kepada pelajar dijamin bersih dan selamat serta bebas daripada kuman berbahaya, racun, toksin, najis dan bahan buangan lain.

“Kita juga akan melakukan pemeriksaan dan penggredan premis makanan di semua kantin sekolah di negeri ini melalui Ops Kantin Sekolah yang akan bermula bulan depan,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE