Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, operasi tersebut dite­ruskan atas dasar persahabatan yang terjalin antara kedua-dua negara, termasuk angkatan tentera lautnya.

Katanya, kerajaan menerusi mesyuarat Kabinet sudah bersetuju agar operasi ini diteruskan TLDM hingga semua mang­sa insiden tersebut berjaya ditemukan.

“Sewaktu kita ditimpa musibah membabitkan MH370 dan MH17 dahulu, sebanyak 26 negara menghulurkan bantuan.

“Kita (TLDM) juga mempunyai hubungan rapat dengan angkatan tentera laut AS, jadi tiada sebab untuk kita tidak membantu mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Persidang­an Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidya­nanthan.

Isnin lalu, Kapal perang USS John S. McCain terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah kapal tangki di perairan timur Johor hingga menyebabkan 10 anak kapalnya hilang.

Dua hari lalu, Agensi Pe­nguat­kuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysa) mengeluarkan kenyataan pihaknya menangguhkan operasi SAR ekoran pihak AS menangguhkan operasi SAR di laut bagi menumpukan pencari­an dalam kapal.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sem­brong ber­kata, insiden ber­kenaan seharusnya diambil sebagai pengajaran dan iktibar khususnya buat agensi pertahanan negara.

“Ini menunjukkan bahawa teknologi semata-mata tidak mencukupi tetapi kemahiran dan kepakaran anggota yang terlibat juga memainkan pera­nan besar,” tegasnya.