S. SUBRAMANIAM

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, tambahan waktu operasi tersebut adalah bagi memberi peluang kepada pesakit mendapatkan perkhidmatan terutama pada waktu malam.

Menurutnya, klinik yang dibina dengan kos RM50 juta itu mampu memberi keselesaan kepada orang ramai berikutan masih ramai pesakit luar menggunakan perkhidmatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Jabatan Pesakit Luar di HKL sudah ditutup dan dipindahkan ke KKKL. Oleh itu, kementerian berharap orang ramai boleh mula menggunakan perkhidmatan di klinik kerajaan baharu ini.

“Lanjutan waktu operasi adalah selaras usaha meningkatkan kecekapan sistem pendaftaran Tele Primary Care (TPC). Ini ke­rana terdapat aduan yang di­terima melibatkan kes kelewatan pendaftaran TPC yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan.

“Ini bagi memberi masa kepada petugas untuk mahir penggunaan sistem TPC yang baharu dilaksanakan,” katanya selepas meluangkan masa kira-kira sejam melawat KKKL di sini, hari ini.

KKKL di Jalan Fletcher adalah klinik kerajaan terbesar dan pertama mengamalkan Konsep Doktor Keluarga di negara ini dengan keluasan 1.3 hektar yang kini menerima kira-kira 700 pesakit setiap hari sejak pembukaannya, Isnin lalu.

Pembinaannya bertujuan mengurangkan kesesakan di HKL de­ngan kemampuan menampung 1,000 hingga 3,000 pesakit dalam sehari.

Seramai 56 pegawai perubatan ditempatkan di klinik itu dengan 12 perkhidmatan disediakan kepada orang ramai.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam memberitahu, pengambilan lima peratus pelajar luar negara dalam pengajian perubatan di universiti awam negara ini kini berkuat kuasa serta-merta seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di India, semalam.

“Kita telah benarkan mereka (universiti) untuk menerima lima peratus pelajar asing daripada jumlah keseluruhan pengam­bilan pelajar. Mereka (pelajar asing) akan membayar sepenuhnya kos pengajian dan tidak menerima apa-apa subsidi seperti pelajar tempatan.

“Langkah ini amat baik kerana pelajar asing bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan di negara ini malah turut mempelajari pelbagai jenis budaya. Selain itu, ini juga menjadi salah satu sumber pendapatan kepada institusi pengajian terbabit,” ujarnya.