Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak berkata, Cameron Highlands diibaratkan kawasan kesayangan rakyat negara ini (darling of Malaysia) yang mana semua perkara berlaku di situ diberi perhatian oleh masyarakat.

Kata beliau, fokus penguatkuasaan kali ini melibatkan kebun-kebun haram yang terletak di muka sauk Empangan Sungai Ichat yang membekalkan 70 peratus air bersih di Cameron Highlands agar sumber berkenaan tidak terjejas.

"Penguatkuasaan yang sedang berjalan sekarang adalah dalam usaha kita untuk mengembalikan Cameron Higlands ke zaman kegemilangannya dahulu sebagai kawasan tumpuan ramai.

"Pada masa sama, tidak adil kepada kerajaan dan orang ramai jika tiada tindakan diambil ke atas 121 hektar kebun haram ini yang menjejaskan sumber bekalan air bersih penduduk," katanya selepas merasmikan program Tafaqquh Fiddin Eksklusif (Tafaqquh Fiddin X) Negeri Pahang di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, kerajaan negeri 

bertindak tegas melaksanakan operasi memusnahkan kebun-kebun haram di Cameron Highlands dalam usaha membanteras penerokaan tanah haram yang boleh menjejaskan alam sekitar.

Operasi di kawasan tanah tinggi itu dilaporkan terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama 

bermula Februari lalu dan fasa kedua pada April ini. - UTUSAN ONLINE