Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Husni Che Ahmad ber­kata, langkah itu bertujuan untuk me­merangi aktiviti haram sepertimengenakan caj teksi me­lam­pau kepada pelancong, khususnya atlet KL2017 sehingga boleh menjejaskan nama negara.

“Kita memfokuskan di kawa­san tumpuan pelancong se­perti di lapangan terbang dan terminal bas yang bukan sahaja di Kuala Lumpur dan Sepang tetapi juga di negeri-negeri lain.

“SPAD melakukan pelbagai cara untuk menjejaki sindiket itu sama ada penyamaran atau se­baliknya, namun orang ramai diminta untuk melaporkan me­ngenai aktiviti ini kepada kami dengan segera,” katanya ketika ditemui selepas Ops Parasit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Mengulas lanjut, Che Husni berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk menahan pengusaha ulat teksi dan pemandu kereta sapu sekiranya mereka didapati terlibat dalam kegiatan ber­kenaan.

Beliau berkata, ulat teksi bo­leh didakwa di bawah Seksyen 05 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dengan sabit ke­salahan, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pengusaha kereta sapu pula boleh didakwa di bawah Seksyen 16 APAD 2010 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak le­bih satu tahun atau kedua-dua­nya sekali, manakala kenderaan yang digunakan sebagai kereta sapu boleh dilucutkan hak milik,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi­ ter­­baharu bermula pukul 6 pagi hingga 8 malam semalam, pi­haknya berjaya menahan tiga ulat teksi di KLIA serta KLIA2 dan mereka didakwa di Mahkamah Sepang hari ini.