Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, usaha operasi itu perlu dipuji kerana merupakan inisiatif berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang selain kempen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pemanduan berhemah dan keselamatan harta benda sebelum meninggalkan kediaman sempena musim perayaan ini.

“Sungguhpun demikian, kejayaan dalam perlaksanaan Op Selamat ini bergantung kepada komitmen dan sokongan padu daripada segenap lapisan masyarakat kerana semua usaha ini akan dilihat sebagai sia-sia atau ibarat ‘mencurah air di daun keladi’ sekiranya masyarakat masih alpa dan tidak menitik beratkan soal keselamatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 13 Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018 di Durian Tunggal, dekat sini.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Mohd. Sofi Abdul Wahab serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, NGO Dan Hal Ehwal Pengguna negeri, G. Saminathan. - UTUSAN ONLINE