Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar) LHDN, Datuk Noor Azian Abdul Hamid berkata, mereka yang disenarai pendek ini dikesan melalui beberapa kriteria termasuk gagal mengemukakan borang nyata cukai melebihi tiga tahun taksiran.

Menurutnya, sebanyak 1,279 pegawai akan digerakkan untuk melakukan audit sepanjang lima hari operasi berlangsung.

“Op Patuh ini adalah sebahagian daripada aktiviti penguatkuasaan LHDN bagi meningkatkan pematuhan cukai serta memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai tanggungjawab untuk mengisytihar cukai pendapatan.

“Fokus operasi kali ini melibatkan aktiviti audit luar dan audit meja bagi kategori pembayar cukai syarikat dan pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kunju­ngan Mesra Hasil Berfokus Peringkat Nasional 4/2017 Op Patuh di LHDN cawangan Kota Bharu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Perisikan dan Profiling, Penganjur Operasi Patuh Nasio­nal LHDN, Hajam Lajah Alam; Pengarah Jabatan Pematuhan Cukai, Mohd. Jaafar Embong dan Pengarah Cawangan Kota Bharu, Shaufee Salleh.

Dalam pada itu, Noor Azian berkata, selain menjalankan audit luar dan audit meja, pihaknya turut melakukan siasatan terhadap beberapa pembayar cukai yang dipercayai mengelak melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Bersempena Op Patuh ini, satu operasi siasatan cukai te­lah dilaksanakan ke atas sebuah kumpulan syarikat yang didapati telah gagal mengemukakan borang nyata pendapatan sejak tahun 2010 sehingga 2016.

“Anggaran cukai yang ditaksir gagal diisytiharkan oleh kumpulan syarikat ini adalah sebanyak RM20 juta,” katanya.

Tambahnya, kes kumpulan syarikat berkenaan adalah salah satu hasil kerjasama strategik di antara LHDN dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam usaha menangani ketirisan cukai.