Jika dilihat pada penampilan golo­ngan wanita itu sendiri, ramai yang gemar bergaya dan sesetengahnya ada kalanya tampak berlebihan semata-mata untuk bergambar dan dimuatkan di laman sosial dengan niat untuk meraih like.

Outfit Of The Day atau akronimnya OOTD yang kini menjadi fenomena tersendiri terutama dalam kalangan wanita semakin menular. Wanita hari ini bukan sahaja lebih gemar berpakaian mengikut trend malah pada masa sama amat menyukai solekan tebal untuk tampak cantik di dalam gambar.

Kebanyakan wanita ju­ga dilihat berlumba-lumba memuat naik gambar dengan meng­gunakan simbol hashtag OOTD di laman sosial khususnya Instagram dan Facebook.

OOTD merupakan gambar bagi memperlihatkan pakaian, kasut, bag, hijab dan aksesori terutama yang berjenama mewah.

Fenomena yang awalnya dicetuskan oleh golongan blogger fesyen, model dan selebriti itu kini menjadi ikutan masyarakat hari ini yang ada kalanya disifatkan sebagai riak.

Ada juga sesetengah orang yang bijak menyesuai padan pakaian mereka sehingga individu-individu ini boleh dikategorikan sebagai ikon fesyen.

Namun, dalam masa yang sama, terlihat gaya wanita OOTD yang agak keterlaluan, sama ada dalam cara berpakaian yang tidak sesuai pada majlis atau sesuatu masa mahupun terzahir sikap me­nunjuk-nunjuk kerana memiliki bara­ngan mewah.

Justeru, golo­ngan wanita yang terlalu taksub dengan trend ini bukan sahaja menjadi buah mulut dan kritikan orang ramai malah mengundang bahaya jika ada manusia mempunyai niat jahat kerana percaya mereka memiliki kehidupan mewah.

Apa jua niat seseorang wanita itu, mereka perlu berhati-hati kerana takut menjadi mangsa siber selain perlu menjaga penampilan mengikut budaya masyarakat timur serta tidak keterlaluan.