Kejadian yang berlaku sekitar pukul 9.30 malam turut memusnahkan sebuah rumah, dan memaksa sebilangan keluarga bermalam di rumah saudara mara kerana bimbang kediaman mereka akan turut menyusul.

Tinjauan di kawasan sekitar hari ini mendapati benteng penahan ombak yang dibuat pada tahun lepas sudah runtuh, dan kediaman penduduk kian terdedah, malah akan menjadi mangsa jika fenomena itu berterusan dalam sehari dua lagi.

Bagi Yusuf Abdullah, 42, ombak besar yang berlaku semalam telah menyebabkan rumah pusaka yang didiami sejak 40 tahun dahulu musnah, dan kemungkinan tapaknya akan hilang ditelan laut.

"Memang sedih bila tengok rumah yang kami duduk dari kecil dan kawasan sekitar yang pernah jadi tempat permainan sudah hampir tiada," ujar nelayan itu.

Bagi seorang lagi penduduk, Zulin Mohammad, 42, kejadian malam tadi cukup menakutkan dia dan isteri, Hazura Alias, 34, yang menyebabkan mereka bergegas mendapatkan perlindungan di rumah bapanya tidak jauh dari rumahnya.

Menurutnya, dia sekeluarga terpaksa menanggung masalah yang sama setiap tahun dan bimbang sekiranya sesuatu terjadi terhadap rumahnya dan keluarga namun setakat ini dia tidak ada pilihan untuk berpindah. - UTUSAN ONLINE