Namun semalam, dunia persilatan ta­nah air kehilangan Omardin. Allahyar­ham menghembus­kan nafasnya yang terakhir akibat kom­plikasi buah pinggang pada usia 74 tahun sekali gus meninggalkan legasi yang cukup besar serta sukar untuk dicari ganti.

Dilahirkan pada 29 Mei 1941, ketokohan beliau dalam bidang persilatan begitu terserlah terutama dalam menyatukan orang Melayu hingga diberi penghormatan sebagai penerima pertama Anugerah Pendekar Malaysia pada Julai 2011 dan merupakan penerima tunggal setakat ini.

Selain itu, Omardin turut menerima pengiktirafan daripada kerajaan dan pelbagai pihak antaranya dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) dan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) dari kerajaan Pulau Pinang. Pada 2011 pula, beliau dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Persatuan Taekwando Malaysia pula menganugerahkan gelaran ‘Master Din’, diikuti anugerah ‘Legenda Seni Mempertahankan Diri’ daripada Pertubuhan Antarabangsa Pendidik Untuk Keamanan Dunia (IAEWP) (2008) dan Anugerah ‘Supreme Grand Master’ dari Persatuan Taekwando Global Malaysia (2009).

Anugerah lain termasuk ‘Kesatria Terbilang’, Selempang Penasihat Kehormat Perwira Malaysia, Bapa Seni Bela Diri Malaysia dan anugerah Kehormat Seni Wushu oleh Dragon Art Wushu International.

Mengimbau kehebatannya da­lam seni mempertahankan diri, Omardin, cukup dihormati oleh kawan dan lawan kerana keupayaannya menguasai ilmu persilatan yang tidak dapat dikuasai oleh mana-mana mahaguru silat di negara ini walaupun keadaan fizikalnya tidak sempurna.

Beliau yang memiliki lebih sejuta anak murid dari seluruh dunia pernah ditanam hidup-hidup dalam kubur untuk tempoh yang lama tanpa sebarang alat pernafasan, mampu melepaskan diri biarpun dicampak dalam air dengan keadaan badan, kaki dan tangan terikat ketat serta terjun dari ketinggian bangunan tiga tingkat tanpa sebarang kecederaan.

Omardin juga memiliki kehebatan bukan sahaja mampu menahan tumbukan serta tendangan tetapi memiliki kebolehan mengelakkan dirinya daripada luka biarpun ditetak menggunakan senjata tajam.

Bagaimanapun di sebalik semua kehebatan itu, Allahyarham sebenarnya mengenali silat pada usia yang agak lewat iaitu ketika berumur 18 tahun. Omardin berguru dengan guru silat bernama Syed Abdul Rahman, di Pulau Besar, Melaka, bagi tujuan merawat kecacatan kakinya akibat polio.

Bagi Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Senator Tan Sri Mohd. Ali Rustam, pemergian Omardin merupakan kehilangan besar kepada negara dan dunia persilatan kerana Allahyarham merupakan seorang mahaguru dan pendekar yang cukup dihormati kerana kehebatan ilmu persilatannya.

“Ilmu silatnya cukup tinggi dan saya melihat tiada mahaguru lain di negara ini yang mampu menandingi kehebatan Omardin tetapi pada saya, kehebatan utama Omardin ialah kejayaannya menyatukan orang Melayu,” katanya kepada Mingguan Malaysia sambil mengesahkan bahawa Pesaka akan membukukan kisah hidup Omardin.

Dalam pada itu, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Omardin merupakan seorang tokoh silat yang mempunyai tarikan hebat kerana beliau berkebolehan mencantumkan keupayaan fizikal dengan kebatinan menerusi Silat Lincah.

Beliau yang bersahabat karib dengan arwah sejak 42 tahun lalu menambah, Omardin merupakan seorang yang terlalu cintakan kehalusan budaya dengan menjadikan seni silat sebagai asas perjuangannya untuk melonjakkan kehebatan bangsa Melayu di mata dunia.

“Kalau dilihat dari segi fizikalnya beliau ada kekurangan tetapi Omardin telah mencantumkan kebolehan batin dengan fizikal hinggakan penggunaan pancainderanya selain kaki cukup pantas yang saya sifatkan sebagai memiliki kebolehan tertinggi berbanding mahaguru silat yang lain,” ujarnya.

Sememangnya, menerusi segala kehebatan yang pernah dipertontonkan semasa hayatnya dan dengan lebih sejuta anak muridnya, darah pendekar Omardin akan sentiasa terus hidup.