Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd., Datuk Dr. Ibrahim Yahaya berkata, transformasi itu bukan semata-mata untuk menaikkan hasil jualan, tetapi sebagai langkah strategik menarik lebih ramai syarikat swasta, sektor korporat dan komersial menyiarkan iklan operasi serta perniagaan masing-masing di akhbar arus perdana itu.

“Selepas puluhan tahun iaitu sebelum Merdeka akhbar ini wujud, maka hari ini 16 September 2018 iaitu Hari Malaysia, Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia berwajah baharu.

“Ada kemungkinan kandu­ngan berita Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia akan berubah tetapi masih mengekalkan konsep tersendiri serta berlainan daripada akhbar pesaing,” katanya di hadapan 3,000 warga kota di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara, di sini hari ini.

Terdahulu, Ibrahim bersama empat lagi Ahli Lembaga Pe­ngarah Utusan Melayu (M) Bhd. iaitu Datuk Ahmad Fauzi Zahari; Datuk Mohd. Azmi Othman; Wan Zalizan Wan Jusoh; Dr. Badrul Hisham Mohd. Yusoff; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan Pengarang Mingguan Malaysia, Badrul Azhar Abdul Rahman melancarkan wajah baharu akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Sementara itu, Ahmad Fauzi yang juga bekas Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, perubahan wajah baharu itu telah lama dinantikan pembaca tegar Ming­guan Malaysia dan Utusan Malaysia kerana ia seiring de­ngan trend semasa yang serba ringkas dan cepat.

Katanya, bagaimanapun saiz kompak itu tidak mengubah kepentingan setiap laporan be­rita.