Ibarat petanda awal bakal meraih kemenangan besar pada acara kemuncak malam esok, filem arahan Chiu Keng Guan itu telah memenangi kategori Pereka Kostum / Busana Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik dan Lagu Tema Asal Terbaik.

Dirasmikan oleh Pengerusi Finas, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, majlis perasmian FFM28 itu mengumumkan 10 pemenang daripada 27 kategori yang dipertandingkan termasuk Anugerah Penggiat Belakang Tabir yang dianugerahkan kepada Mohd. Noor Tagaya.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Finas, Datuk Yusof Haslam; Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman dan Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob.

Selain itu, anugerah-anugerah lain seperti Penataan Seni Terbaik dimenangi oleh filem Huat The Fish; Kesan Visual Khas Terbaik (Cicakman 3); Penataan Bunyi Terbaik (Munafik); Filem Animasi Pendek Terbaik (Ejen Ali) dan Filem Pendek Terbaik (RM10).

Dalam pada itu, antara barisan penyanyi yang memeriahkan majlis ialah Elyana, Datuk Hattan, Hazama Azmi, Adira Suhaimi dan kumpulan Votez.

Malam kemuncak FFM28 akan diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu ini dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria pukul 9 malam. - UTUSAN ONLINE