Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadikannya acara tahunan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan beberapa kementerian lain.

“Bulan Kesiapsiagaan Nasional ini bertujuan mendidik rakyat supaya sentiasa bersedia kalau berlaku apa-apa bencana termasuk dari segi perpindahan ke pusat pemindahan, simulasi bencana, bagaimana membangunkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu dan sebagainya.

“Semua persiapan perlu bermula dari akar umbi, yang di atas cuma melengkapi. Di peringkat bawahan perlu diberi kesedaran dan pendidikan kerana ia satu proses berterusan untuk perbaiki serta membentuk tatacara menghadapi bencana,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama Timbalan Perdana Menteri menyaksikan majlis penyerahan cek sumbangan Tabung Kemanusiaan Komunikasi Multimedia Malaysia (TKKMM) berjumlah RM2.57 juta daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada MKN.

Cek tersebut diserahkan oleh Pengerusi SKMM, Tan Sri Dr. Halim Shafie kepada Timbalan Setiausaha MKN, Ogu Salim Omar untuk disa­lurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah kendalian MKN.

TKKMM 13999 yang dibuka pada 24 Disember tahun lepas sehingga 31 Januari lalu dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama SKMM dengan penyertaan syarikat-syarikat telekomunikasi.

Mengulas mengenai sumbangan tersebut, Ahmad Shabery berkata, wang RM2.57 juta itu akan diagih­kan kepada mangsa banjir untuk membina, memperbaiki dan memulihkan kehidupan mereka.

Katanya, TKKMM 13999 akan diaktifkan semula jika terdapat permintaan masyarakat dan perkara itu akan diumumkan oleh SKMM.