Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sistem tersebut juga menggalakkan pembangunan pendidikan mapan selari dengan perkembangan kemajuan teknologi masa kini.

Menurutnya, sehubungan itu, sistem yang diwujudkan hasil kerjasama erat antara pelbagai pihak dalam bidang pendidikan itu, diyakini mampu meningkatkan kualiti pelajar pada masa hadapan.

“Sistem ini bukanlah a­sing. Ada lima institut pengajian tinggi yang giat menggunakan kaedah ini dan ada antaranya telah mewujudkan kerjasama baik. Negara kita sendiri telah menerima banyak manfaat daripadanya.

“Di samping itu, pembelajaran dalam talian yang lebih fleksibel dan terbuka melalui ODL turut membantu negara Komanwel lain dalam membangunkan sistem pendidikan mereka. Ini adalah permulaan kepada pendidikan masa depan antara benua yang ingin kita jalankan sedikit demi sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri majlis perasmian Forum Pem­belajaran Terbuka Kali Ke-8 Pan Komanwel (PCF8) bertemakan Pembelajaran Fleksibel, Dalam Talian dan Terbuka: Kunci Pembangunan Mapan di sini hari ini.

Sebanyak lapan menteri yang mewakili negara seperti Ghana; Nigeria; Bostwana; Seychelles; Swaziland dan Papua New Guinea hadir dan terlibat dalam forum yang dihoskan oleh Universiti Terbuka Malaysia (OUM) serta The Commonwealth of Learning (COL).

Yang turut hadir Naib Canselor OUM, Profesor Datuk Dr. Mansor Fadzil dan Presiden COL, Profesor Asha Kanwar.